Pelaburan yang dibuat semestinya diharapkan memberi pulangan yang memuaskan. Setiap pelaburan yang dibuat mempunyai tahap risiko yang tersendiri dan memerlukan strategi yang baik.
Salah satu strategi pelaburan yang menjadi pilihan ramai adalah Dollar Cost Averaging (DCA) yang juga dipanggil Ringgit Cost Averaging (RCA).
Asas Strategi Pelaburan DCA
Matlamat utama didalam strategi pelaburan DCA ini adalah untuk mendapatkan kos purata harga saham yang rendah untuk jangka masa yang panjang.
Pembelian saham dibuat secara TETAP SETIAP BULAN dengan JUMLAH YANG SAMA.
Simulasi Strategi Pelaburan DCA
Untuk memudahkan anda memahami bagaimana strategi pelaburan DCA ini, disini diberikan contoh situasi.
Saya berminat untuk melabur didalam saham A dan saya membuat pelaburan RM100 setiap bulan secara tetap.
Bulan | Jumlah | Harga Saham | Unit Saham |
---|---|---|---|
Jan | RM100 | RM0.25/saham | 400 unit |
Feb | RM100 | RM0.35/saham | 285 unit |
Mac | RM100 | RM0.30/saham | 333 unit |
April | RM100 | RM0.40/saham | 250 unit |
Jumlah Unit Saham: | 1268 unit |
Harga purata bagi pembelian saham A untuk 1268 unit adalah:
= (RM100 x 4 bulan) / 1268 unit saham
= RM400 / 1268 unit
= RM 0.31/saham
Jika dibandingkan dengan saya membuat pelaburan sekali gus RM400 pada bulan Feb, saya akan membeli saham A dengan harga kos yang lebih tinggi RM0.35/saham dan mendapat jumlah saham 1142 unit, kurang berbanding melalui strategi DCA.
Itu adalah contoh bagaimana pelaburan saham melalui strategi DCA dibuat.
Fokus Pemilikan Unit Saham
Pada permulaan pelaburan yang dibuat, jika harga unit saham semakin menurun, itu adalah peluang yang menguntungkan untuk anda mendapatkan jumlah unit saham lebih banyak.
Sebagai contoh dibawah, untuk pelaburan RM500 sebulan.
Bulan | Jumlah Pelaburan | Harga Saham (Seunit) | Jumlah Unit Saham |
Jan | RM500 | RM 0.35 | 1,428 |
Feb | RM500 | RM 0.31 | 1,612 |
Mac | RM500 | RM 0.30 | 1,666 |
April | RM500 | RM 0.29 | 1,724 |
Mei | RM500 | RM 0.25 | 2,000 |
Jun | RM500 | RM 0.25 | 2,000 |
Jumlah Unit Saham | 10,430 Unit Saham |
Untuk pelaburan secara berkala RM500 sebulan selama 6 bulan, anda telah memiliki jumlah unit saham sebanyak 10,430 unit dengan jumlah pelaburan RM3,000.
Apabila harga saham telah kembali meningkat kepada RM0.35, pelaburan anda telah bernilai
= RM0.35 x 10,430 unit
= RM3,650.50
Jumlah keuntungan anda adalah:
= RM 3,650.50 – RM 3,000
= RM 650.50
Peratusan keuntungan anda adalah:
= (RM 650.50 / RM3,000 ) x 100
= 21.68%
Jangka Masa Panjang
Kitaran ekonomi akan berpusing dari atas kebawah dan kembali keatas. Kebiasanyaannya, kitaran ekonomi adalah sekitar 10 tahun.
Strategi pelaburan DCA adalah sesuai untuk jangka masa panjang melebihi 10 tahun.
Antara tujuan pelaburan yang sesuai untuk jangka masa panjang adalah:
- Dana Persaraan
( Umur 55 tahun keatas) - Dana Pendidikan Anak
( Anak berumur 18 tahun keatas) - Dana Kecemasan Masa Depan
( Dana Kecemasan 10 tahun keatas) - Dana Pelancongan
( Dana Pelancongan 10 tahun keatas)
Pastikan anda mendapat nasihat perunding unit amanah yang berlesen sebelum anda membuat sebarang pelaburan didalam mana-mana dana.
Setiap individu mempunyai tahap toleransi risiko tersendiri dalam pelaburan yang dibuat. Pastikan anda membuat penilaian kesesuaian didalam menerima tahap risiko pelaburan.